SEJARAH PERUNDANGAN ISLAM, ZAMAN SAHABAT (part 4)

PERUBAHAN SUMBER-SUMBER HUKUM

  1. Al Quran - Sumber perundangan yang pertama.
  2. Hadith - Sumber perundangan yang kedua.
  3. Ijtihad sahabat - Sumber perundangan yang ketiga.
Sumber perundangan yang pertama (Al Quran)
  • Ayat-ayat hukum di dalam Al Quran mempunyai kesan yang kekal dalam perundangan Islam.
  • Ayat-ayat hukum disebabkan kepada umat Islam untuk menghafaz dan mengetahui nas-nas hukum sehingga tidak berlakunya perselisihan.
  • Pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda melantik beberapa orang sahabat untuk menuliskan ayat-ayat Al Quran yang diwahyukan kepada baginda.
  • Kebiasaannya Rasulullah s.a.w akan membacakan wahyu ayat Al Quran tersebut kepada umat Islam. Lalu ayat-ayat tersebut ditulis oleh penulis wahyu yang dilantik. Ada juga sahabat yang hadir menulisnya untuk kegunaan diri mereka sendiri dan banyak juga sahabat juga menghafaznya.
  • Jadi setelah kewafatan Rasulullah s.a.w segala ayat-ayat Al Quran sudah lengkap ditulis dan di antara sahabat-sahabat juga ada yang menhafaz keseluruhan ayat Al Quran.
  • Ayat-ayat Al Quran yang ditulis disimpan oleh penulis-penulis wahyu. Begitu juga sahabat-sahabat yang lain menyimpan bahagian yang ditulis mereka di rumah mereka.
  • Demikian juga di rumah Rasulullah s.a.w tersimpan apa yang ditulis. Akan tetapi tulisan-tulisan tersebut belum lagi dikumpul menjadi satu himpunan.
  • Apabila berlakunya peperangan Riddah (memerangi orang murtad) pada zaman Khalifah Abu Bakar as Siddiq, banyak di kalangan sahabat yang terkorban. Ini telah menyebabkan timbulnya kebimbangan pihak yang berkuasa akan kehilangan lembaran Al Quran.
  • Lalu diperintahkanlah sahabat yang diketuai oleh penulis wahyu yang terkenal iaitu Zaid bin Thabit mengumpul lembaran ayat-ayat Al Quran untuk menjadi satu himpunan.
  • Akhirnya naskah himpunan Al Quran tersebut telah dapat dihimpunkan dan di simpan oleh Abu Bakar, kemudian Umar dan kemudian Ummul Mukminin Hafsah binti Umar.
  • Dalam tahun 30 Hijrah, Khalidah Uthman telah mengambil naskah himpunan Al Quran dari Hafsah bin Umar lalu diserahkan kepada Zaid bin Thabit dan sahabat yang lain. Seterusnya menyalin naskah yang ada kepada 6 buah naskah.
  • Salinan naskah tersebut seterusnya di sebarkan kepada negeri-negeri Islam supaya mudah untuk orang Islam merujuk dan kembali kepada Al Quran dan supaya tidak berlaku perselisihan dengan sebab berlainan loghat-loghat pengucapan daerah.
  • Kesan yang timbul dari pembukuan Al Quran tersebut ialah ayat-ayat hukum di dalam Al Quran telah menjadi masyhur dinaqal sama ada dengan tulisan atau hafalan. Sehinggalah semua ayat-ayat tersebut diyakini kebenarannya.
Sumber perundangan yang kedua (Hadith)
  • Nas-nas hukum di dalam hadith belum lagi dibukukan pada zaman ini, bahkan seluruh Sunnah Rasulullah s.a.w tidak dibukukan di zaman ini.
  • Khalifah Umar pernah terfikir untuk membukukan hadith, tetapi ditakuti akan timbul kesamaran di antara Al Quran dan Hadith maka beliau tidak meneruskan hasratnya.
  • Diceritakan bahawa Abdullah bin Amru al'As ada mencatat hadith-hadith yang beliau dengar sendiri dari Rasulullah s.a.w dan menamakan bukunya as Sadiqah.
  • Walaupun sahabat tidak menulis hadith-hadith Nabi, mereka sangat cermat dan teliti dalam menerima hadith-hadith agar terjamin keselamatannya.
  • Mereka juga berhati-hati dalam memeriksa perawi-perawi hadith. Sebagai contohnya:
      • Abu Bakar tidak akan menerima hadith yang diberitakan kecuali hadith tersebut disaksikan oleh orang lain.
      • Umar pula menuntut pemberita hadith tersebut membawa keterangan saksi.
      • Ali bin Abi Talib pula menyuruh pemberita hadith tersebut untuk bersumpah.
  • Walaupun langkah berhati-hati telah diambil, pembukuan hadith belum lagi dilakukan.
  • Adapun sebab hadith-hadith tidak dibukukan adalah kerana:
      1. Ulama terpaksa mengorbankan banyak tenaga dalam menyelidik pemberita-pemberita hadith dan darjat-darjat kepercayaan (credibility) mereka.
      2. Umat Islam tidak sepakat pegangan mereka kepada himpunan hadiths sebagaimana kesepekatan pegangan mereka terhadap Al Quran.
Sumber perundangan yang ketiga (Ijtihad Sahabat)
  • Ijtihad-ijtihad sahabat tidak dituliskan pada zaman sahabat walaupun mereka bertugas sebagai ahli fatwa.
  • Penilaian terhadap fatwa mereka adalah tidak lebih dari buah fikiran peribadi mereka.
  • Jika fatwa mereka itu benar, maka itu adalah ilham dari Allah s.w.t dan jika fatwa mereka itu salah maka ianya datang dari diri mereka sendiri.
  • Sahabat tidak akan memaksa sahabat yang lain atau orang Islam yang lain berpegang dengan fatwa mereka.
  • Sebagai contohnya:
      • Umar seringkali berselisih pendapat dengan Abu Bakar.
      • Begitu juga Zaid bin Thabit bertelingkah fikiran dengan Abdullah bin Abbas.
      • Jadi perselisihan hukum mengenai sesuatu kejadian atau peristiwa di antara sahabat adalah banyak.
  • Dalil-dalil yang mereka utarakan di dalam menghukum sesuatu perkara yang tidak ada nasnya menunjukkan bagaimana bebas fikiran mereka dan bagaimana cermat dan teliti mereka memikirkan dasar mencari muslihat untuk mencegah kerosakkan dan bencana. 

Comments

Popular Posts