Skip to main content
SEJARAH PERUNDANGAN ISLAM, ZAMAN SAHABAT (part 2)
PEMEGANG KUATKUASA PERUNDANGAN
- Kuatkuasa perundangan di zaman ini dipegang oleh sahabat-sahabat agung Rasulullah s.a.w. Antara mereka ada yang hidup hingga akhir abad hijrah yang pertama seperti Anas bin Malik yang wafat pada tahun 93 Hijrah.
- Zaman Rasulullah s.a.w telah meninggalkan undang-undang yang asasi dan lengkap terdiri dari nas-nas hukum di dalam Al Quran dan Hadith.
- Akan tetapi undang-undang tersebut tidak dapat difahami oleh setiap orang Islam pada masa itu kecuali yang ahli sahaja, terutamanya para sahabat. Perkara ini adalah kerana:
- Di antara sahabat terdapat golongan yang awam yang tidak memahami nas-nas hukum kecuali dengan perantaraan orang yang boleh memahami mereka.
- Butir-butir undang-undang yang asas ini belum lagi disebar luaskan kepada orang-orang Islam di zaman itu sehingga dapat diketahui oleh setiap orang dari sahabat. Ini kerana nas-nas Al Quran pada zaman Rasulullah s.a.w hanya ditulis di lembaran-lembaran khas dan disimpan di rumah Rasulullah s.a.w dan di rumah para sahabat, sedangkan hadith tidak pernah ditulis.
- Hukum-hukum yang diperundangkan di zaman Rasulullah s.a.w adalah yang hanya berhubung dengan kejadian di zaman itu sahaja. Tidak ada perundangan tentang hukum-hukum yang akan berlaku atau yang mungkin akan berlaku.
- Sedangkan pada zaman sahabat, telah timbul keperluan-keperluan, peristiwa-peristiwa dan perselisihan-perselisihan baru yang tidak timbul di zaman Rasulullah s.a.w dan tidak jiga didapati di dalam nas-nas yang boleh menentukan hukumnya dengan tegas.
- Jadi para sahabat yang alim dan agung merasa berkewajipan memikul tugas perundangan. Iaitu dengan menerangkan kepada umat Islam tentang segala nas-nas hukum yang ada di dalam Al Quran dan Hadith yang memerlukan pentafsiran dan penjelasan yang lebih jauh.
- Sahabat juga perlu menyampaikan kepada umat Islam segala ayat Al Quran dan Hadith yang dihafaz oleh mereka serta memberi fatwa-fatwa di dalam perkara-perkara perbalahan yang baru terjadi dan yang belum ada nasnya.
- Jadi para sahabat yang memikul tugas seperti inilah yang memegang kuatkuasa perundangan di zaman ini. Mereka juga mengganti Rasulullah s.a.w sebagai tempat umat Islam bertanya dan menaruh kepercayaan kepada penjelasan-penjelasan dan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mereka.
- Akan tetapi hak memegang tampuk perundangan ini bukanlah didapati oleh mereka dengan perlantikan dari khalifah atau pilihan orang ramai. Bahkan mereka dapatinya melalui kelebihan dan keistimewaan peribadi mereka yang menjadikan mereka terkenal.
- Perkara ini adalah antaranya disebabkan oleh:
- Persahabatan yang sudah lama terjalin dengan Baginda Rasulullah s.a.w.
- Kelebihan para sahabat dalam menghafaz Al Quran dan Hadith dari Rasulullah s.a.w.
- Sahabat juga mengetahui sebab-sebab turunnya sesuatu ayat Al Quran dan mengetahui sebab datangnya Hadith.
- Di antara para sahabat juga pernah menjadi ahli perundangan dan permesyuaratan Rasulullah s.a.w ketika melaksanakan ijtihadnya.
- Dengan adanya keistimewaan tersebutlah maka sahabat mencapai kelayakan untuk menjelaskan nas-nas dan berijtihad dalam perkara-perkara yang belum ada nasnya.
- Di antara sahabat-sahabat yang terkenal sebagai ahli fatwa ialah:
- Madinah - Khalifah Abu Bakar, Khalifah Umar, Khalifah Uthman, Khalifah Ali, Zaid bin Thabit, Ubai bin Ka'ab, Abdullah bin Umar, Aisyah.
- Mekah - Abdullah bin Abbas.
- Kufah - Ali bin Abi Talib, Abdullah bin Mas'ud.
- Basrah - Anas bin Malik, Abu Musa al Asy'ari.
- Syam - Muaz bin Jabal, 'Ubadah bin al Samit.
- Mesir - Abdullah bin Amru bin al'As.
- Bilangan sahabat yang terkenal memberi fatwa dan menjadi sandaran orang ramai ialah serratus tiga puluh orang lebih , termasuk lelaki dan perempuan.
- Kebanyakkan mereka tinggal di Madinah dan setelah takluk jajahan Islam semakin meluas, mereka pun berpindah ke negeri-negeri lain.
- Oleh itu perundangan di awal zaman sahabat dilakukan dengan ijtihad secara beramai-ramai dan kemudian barulah ijtihad secara perseorangan.
Comments
Post a Comment